E11 Resepi Bayi – Puri Epal

puri epal

Resepi Bayi – Puri Epal

Vitamin: A, C, E, Folat
Mineral: Potassoum, Kalsium, Fosforus, Magnesium, Selenium

Makanan pertama Fateh adalah puri pisang, diikuti dengan puri epal. Saya mengamalkan Peraturan Tunggu 4 Hari. Epal adalah ‘safe first food’ untuk bayi. Epal bagus untuk sistem penghadaman bayi dan tidak mungkin menyebabkan alergi. Tapi ibu-ibu kena pantau juga. Ada sesetengah bayi ada juga yang alergi. (more…)

E8 Kenangan Syawal

Setiap dari kita pastinya ada kenangan indah semasa Syawal. Setap kali Syawal juga suami tidak pernah lekang bercerita tentang Syawal semasa zaman kanak-kanak. Berlainan dengan saya, saya tak banyak dapat mengimbau zaman kanak-kanak. Memori zaman kanak-kanak saya terlalu sedikit. Tapi ada satu memori yang saya ingat sehingga ke hari. Bukan sahaja semasa bulan syawal tetapi pada hari-hari lain juga.

Kenangan Syawal – Pulut Lepa Mok

pulut panggang photo
Photo by boo_licious

Arwah nenek saya sebelah ibu dipanggil dengan panggilan ‘Mok’ leh cucu-cucunya. Saya tak tahu kenapa tidak dipanggil nenek atau seangkatan dengannya. Saya pula tak pernah bertanya. Mok meninggal dunia semasa saya berusia 23 tahun.

Setiap kali tiba Syawal, kebiasaan saya selalu melihat arwah Mok akan membuat pulut lepa (panggilan orang Kelantan). Saya hanya memerhati dari jauh. Tak pernah bertanya bagaimana membuatnya, apa resepinya. Setiap kali Syawal, pulut lepa itu akan menjadi santapan utama saya. Masih terliur sehingga ke hari ini. Tiada pulut lepa setanding kesedapan arwah Mok buat.

Pulutnya lembut dan rasa isi ikannya cukup sedap sekali. Cukup rasa manisnya, cukup rasa lemaknya. Jika melihat pulut lepa yang dihidangkan semasa Syawal atau melihat di pasar saya pasti teringatkan kesedapan pulut lepa Mok.

Sehingga ke hari ini, bukan saya sahaja yang rindukan pulut lepa Mok. Ahli keluarga lain malah orang kampung juga rindukan pulut lepa Mok. Mak saya pula tidak mewarisi air tangan Mok yang pandai membuat pulut lepa.

Gulai ayam yang Mok buat juga sedap. Mak saya juga tidak mewarisi. Pernah sekali abah saya menyuruh pergi belajar membuat gulai ayam. Menyesal sehingga ke hari ini saya tidak pergi belajar. Saya hanya memerhati dari jauh sahaja Mok buat gulai ayam. Rasanya tidak sama.

Saya rindukan hidangan pulut lepa Mok di atas meja usang itu setiap kali berkunjung ke rumahnya yang kini diduduki oleh ayah saudara saya. Saya rindu. Al-Fatihah.

E6 Jurnal Makanan Bayi 6 Bulan – Baby Fateh Dah Mula Makan Makanan Pejal

makanan pelengkap bayiSebelum Fateh berumur 6 bulan, saya mencari maklumat dan belajar sedikit mengenai makanan pelengkap. Banyak perkara baru mengenai pemakanan bayi yang saya belajar dan bukan mudah juga sebab saya ingin memberikan makanan yang sihat dan terbaik untuk anak saya. Saya mencari maklumat di internet, beli buku untuk belajar mengenai makanan pelengkap bayi. Zaman sekarang banyak penyakit dan tentulah saya ingin berikan makanan yang terbaik untuk anak saya. Saya juga tak mahu anak rosak dengan makanan yang tidak sihat seperti makanan ringan. Cukuplah kita yang dewasa ini sudah rosak dengan makanan yang tidak sihat sejak dari kecil. Saya tak mahu anak mengikut sama makan makanan yang tidak sihat. Oleh itu, Insyaallah saya mahu memberi makanan yang sihat dan pendidikan pemakanan yang sihat sejak dari kecil lagi. Jadi  jika mahu anak sihat, mak ayah perlu cari ilmu dan anak juga harus diajar mengenai pemakanan yang sihat sejak dari kecil lagi.

Seperti mana Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Perut manusia itu tempat segala penyakit, manakala pencegahan itu pokok dari segala pengubatan.” (Riwayat ad-Dailami)

Semakin banyak membaca mengenai makanan pelengkap, saya sebagai ibu baru kadang-kadang bingung. Sebenarnya banyak juga pendapat pakar pediatrik mengenai (more…)

E5 Kursus Penulisan Blog Online Bersama Masayu Ahmad

kursus penulisan blogMudahnya Menulis

Saya mula menulis blog sejak tahun 2010. Saya bermula menulis blog dengan nazifamazni.blogspot.com dan kemudiannya bertukar kepada domain sendiri iaitu www.alamhati.com. Menulis adalah mudah namun saya bukan seorang penulis yang baik tapi oleh kerana pada waktu tersebut saya suka membaca tulisan blogger lain saya ingin juga cuba menulis.

Pada waktu tersebut, saya hanya seorang surirumah sepenuh masa jadi saya ada banyak masa terluang untuk menulis blog. Sepanjang saya menulis blog banyak perkara baru yang saya belajar. Menulis blog bukan sekadar menulis untuk syok sendiri sahaja tetapi semestinya penulisan yang memberi manfaat kepada orang lain juga. Moga-moga penulisan kita menjadi inspirasi, dakwah kepada orang lain.

Ketika saya menulis blog, pada satu tahap saya merasakan saya perlu mencari guru yang boleh membantu saya menulis dengan baik. Semua orang boleh menulis namun tidak semua orang boleh menulis dengan baik. Penulisan saya kebanyakkannya banyak ‘drag’ dan merapu. Saya inginkan penulisan yang baik yang mudah dihadam disamping dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Kursus Penulisan Blog Secara Online Bersama Masayu Ahmad

Saya sudah lama berhajat untuk menyertai Kursus Penulisan Blog Secara Online Bersama Masayu Ahmad. Pada bulan April ini baru saya ada rezeki. Ketika entri ini ditulis saya masih lagi menyiapkan beberapa entri yang tertangguh. Saya sudah lama tidak menulis blog sejak saya ada Fateh. Ke manakah masa itu menghilang?

Masaya Ahmad adalah penulis di ruangan ‘Panduan Bekerja Di Rumah’ setiap minggu di terbitan Majalah Mingguan Wanita. Saya ada juga baca penulisan beliau di Majalah Mingguan Wanita sebelum ini dan banyak mengikuti beliau di facebook.

Seronok juga menyertai kursus penulisan ini kerana dapat belajar cara menulis dengan laju dan bagaimana mendapat idea untuk menulis. Untuk menulis kita perlukan idea. Bila ada idea bagaimanakah kita dapat kembangkan idea tersebut. Kadang-kadang penulisan saya tersekat kerana tiada idea dan tidak tahu bagaimana untuk kembangkan lagi penulisan saya. Itu yang saya ingin belajar.

Buat Duit Dengan Menulis

Oleh kerana itu, saya menyertai Kursus Penulisan Blog Secara Online ini supaya saya dapat mencari ilmu. Ilmu untuk menulis dengan baik. Semoga dengan Kursus Penulisan Blog ini saya dapat memantapkan lagi penulisan buruk saya ini. Ada beberapa lagi individu yang ingin saya jadikan guru. InsyaAllah jika ada rezeki saya ingin menambahkan lagi ilmu dalam penulisan blog. Amin.

E3 Kedai Makan Kelantan Ada Di Mana-mana Sahaja

 

Seminggu lalu saya ke Manjung, Perak. Ini adalah kali ke-2 saya datang ke Manjung. Kali pertama datang ke Manjung atas urusan kerja suami saya dan kali ini juga begitu. Sepanjang tiga hari berada di sini, kami bersarapan di hotel sahaja dan hari terakhir di sini saya ingin makan di kedai makan luar. Saya ingin juga merasa masakan orang Manjung, bukan lagi air tangan chef hotel. Lagipun menu sarapan sama sahaja sepanjang kami berada di sini. Kali pertama menginap di sini menu sama sahaja. Paling tak boleh lupa adalah ikan bilis keras. Boleh patah gigi saya.

Suami bercadang bersarapan di kawasan Pusat Perniagaan Manjung Point sahaja kerana sudah tidak sempat untuk mencari-cari kedai makan lagi. Kami berhasrat untuk makan di Restoran Sri Kantan tempat kami makan tengahari semalam. Malangnya, kedai tersebut tidak buka. Kami mencari kedai-kedai di sekitarnya dan nasib baik ada yang buka. Susah juga mencari kedai makan di sekitar sini. Kami jumpa kedai makan ini pun sebab semalam dalam perjalanan untuk ambil suamiku di Pusat Penetasan Udang Galah, Sitiawan, aku dan adikku meronda-ronda dulu kawasan Pusat Perniagaan Manjung Point untuk melihat kedai-kedai yang boleh dihabiskan duit sambil mencari kedai makan yang ada.

Mujurlah ada kedai makan yang buka pagi ini tatkala suami berkejaran masa. Menu sarapan yang ada di kedai ini adalah nasi bungkus berlauk, nasi kerabu, nasi lemak, nasi dagang dan bermacam jenis kuih-muih. Saya rasa tuan kedai ini adalah orang Kelantan.

Sebelum bergerak pulang ke Utara, kami singgah untuk makan di Restoran Sri Kantan tetapi tutup juga. Kami ke restoran di hadapannya. Pekerja di situ ‘kecek Kelate’. Agaknya tuan kedai pun orang Kelantan.

Tak merasa jugalah masakan orang Manjung.