Kalau ke kedai mainan, rambang mata tengok mainan yang pelbagai. Sejak jadi mak, beginilah perangainya, mengalahkan anak. Padahal Fateh bukan tahu apa-apa lagi. Asyik ajak suami pergi kedai mainan. Melebih-lebih pula mak baru ni, padahal sebelum mengandung dah bagi amaran pada diri sendiri. Selalunya mainan yang dibeli bukanlah Fateh main sangat pun. Dia lagi suka sepahkan barang dalam rumah.

Seronokkan jadi bayi dan kanak-kanak, kerjanya hanyalah bermain dan buat sepah dalam rumah. Tak apalah anak-anak, bermainlah puas-puas. Nanti nak kena hadapi dunia yang kejam dewasa nanti.

Mainan adalah pelaburan untuk perkembangan minda anak-anak,”
Marianne Szymanski, Presiden Toy Tips Inc. menerusi laman web Parents.com.

Bermain Sambil Belajar

Bermain adalah fitrah bayi dan kanak-kanak. Kerja mereka pada usia sebegini hanyaah bermain. Sebagai ibubapa kita hendaklah memainan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak. Walaupun kerja mereka hanya bermain ibubapa boleh merangsang perkembangan mida mereka dengan belajar sambil bermain. Bermain membantu merangsang kemahiran bersosial, intelektual, bahasa dan kemahiran menyelesaikan masalah. Sekarang sudah banyak permainan yang dapat merangsang perkembangan minda, sosial dan kemahiran motor mereka. Bermain adalah sesuatu yang menyeronokkan. Jadikan permainan yang menyeronokkan itu sesuatu yang bermanfaat.

Saya bukan mak yang pandai pun bila membeli barang mainan. Beberapa bulan kebelakangan ini, baru tahu pasal kaedah Montessori untuk diaplikasikan pada bayi dan kanak-kanak. Saya jatuh cinta dengan kaedah Montessori ini. Insyaallah saya akan terapkan dalam aktiviti bersama Fateh nanti.

Bila ada anak, mak pak yang teruja lebih nak beli barang mainan. Pak nak beli segala backhoe yang ada. Saya pula lebih kepada nak beli ‘edu toy’. Saya tak minat patung. Tapi ada juga patung ‘sekor’. Daddy Fateh yang beli. Tapi tak dapat nak main pun sebab berbulu. Tak sesuai pula untuk Fateh yang selalu menggigit. Bimbang bulu berterbangan dan masuk mulut dan hidung. Oleh kerana itu, jika membeli barang mainan anak lihatlah dulu label yang mencadangkan kesesuaian umur anak untuk sesuatu mainan.

Pada awalnya, saya banyak berikan ‘soft toys’ kepada Fateh dan barang mainan yang boleh digigit seperti teether.

Saya beri mainan kepada Fateh sesuaikan dengan peringkat usia dia.

Tips Membeli Mainan Bayi Mengikut Usia

Bayi 0-3 bulan

Seingat saya mainan pertama Fateh adalah rattle dan taggies blanket. Saya berikan rattle dan taggies semasa Fateh belum pandai menggenggam lagi kepada Fateh.

Rattle bagus untuk diberikan kepada bayi kerana ada bunyi, warna dan tekstur yang menarik. Saya suka bunyikan rattle dengan menggerakkan ke atas, ke bawah, ke kiri, ke kanan untuk melihat respon Fateh terhadap bunyi.

Pada awalnya, Fateh tiada respon kepada bunyi lama kelamaan dia ada respon kepada bunyi. Dia mencari di mana bunyi itu datang. Seronok melihat telatah bayi yang mencari-cari arah bunyi.

Semasa membeli rattle dan taggies, pastikan ianya selamat untuk bayi kerana pada peringkat usia akan datang bayi akan mula menggenggam, mengigit dan menghisap.

Rattle yang saya belikan ini boleh dibunyikan kerana ada manik di dalam gegelung plastik yang lutsinar. Apabila digerakkan kita boleh melihat manik bergerak. Gegelung ini boleh dipegang oleh bayi. Telinga gajah ini juga mengeluarkan bunyi apabila dipegang kerana ada plastik di dalamnya. Ini adalah ciri rattle yang baik untuk bayi seperti dicadangkan oleh Sally Goldberg, PhD, penulis Baby and Toddler Learning Fun (Perseus).

Bayi 3-6 bulan

Pada usia ini, bayi akan mula memegang dan menarik barang. Fateh sudah mula pandai memegang rattle dengan sendirinya dan mengoncangnya. Kadang-kadang saya perhatikan Fateh melihat pergerakan manik berwarna-warni di dalamnya sambil menggoncang perlahan-lahan.

Taggies yang saya jahitkan sendiri juga Fateh suka. Fateh suka ramas-ramas kain sambil menarik-narik tag yang mempunyai pelbagai tekstur. Fateh juga suka menghisap tanggies sehingga basah.

Idea taggies ini datang dari 2 orang ibu yang melihat anaknya yang suka bermain hujung selimut dan juga tag pada mainan dan baju. Saya pun perasan Fateh lebih gemar bermain dengan tag pada barang mainan yang saya belum buang daripada bermain dengan mainan yang dibeli. Habis tag dimakannya.

Aktiviti mandi juga boleh dijadikan aktiviti yang menarik. Mandi sambil bermain. Pada waktu inilah mak-mak boleh buat ‘bonding time’ dengan anak. Aktiviti yang boleh dilakukan adalah dengan bermain air di dalam tub mandi atau kolam kecil. Mainan patung, bola, buku kalis air boleh digunakan sebagai mainan mereka. idea bermain

Masa mak saya lihat bola yang saya belikan pada Fateh, mak saya tegur kerana bola yang saya beli berwarna pastel. Mak saya adalah bekas guru tadika. Mak saya nasihatkan untuk beli bola dari warna asas dan terang. Salah beli juga mainan Fateh. Jadi kalau nak beli mainan anak pastikan dari warna asas dan berwarna terang.

Masa mandikan Fateh, saya akan berikan buku kalis air kepada Fateh sambil beritahu dia itu ini. Sembang-sembang. Seronok!

Pastikan mainan yang diberikan kepada bayi pada peringkat usia ini adalah selamat. Elakkan mainan yang kecil dari mulutnya yang akan menyebabkan bayi tercekik. Material mainan juga semestinya selamat untuk bayi dan boleh dibasuh untuk mengelakkan jangkitan bakteria.

Kini terdapat banyak taggies blanket di pasaran yang telah dimodifikasi dengan meletakkan teether dan juga plastik di dalamnya untuk tujuan bunyi kerana bayi sukakan bunyi.

Bayi 6-12 bulan

Saya memperkenalkan buku kepada Fateh semasa berusia 10 bulan. Saya berikan buku kulit keras kepada Fateh. Buku pertama Fateh adalah buku mengenal haiwan. Setakat ini, Fateh tidak pernah menggigit buku kulit keras tetapi kalau buku yang kertas biasa Fateh suka gigit dan makan.

Sebaiknya berikan ‘soft book’ kepada bayi kerana pada usia ini bayi masih suka memasukkan barang ke dalam mulut. Fateh di usia 1 tahun masih lagi suka memasukkan sesuatu ke dalam mulut.

Kadang-kadang saya berikan periuk kepada Fateh untuk bermain. Dia suka dan bolehlah saya buat kerja di dapur. Fateh akan mengetuk-getuk periuk. Anda juga boleh berikan sudu, senduk kepada bayi kerana pada usia ini bayi suka mengetuk-getuk.

Semasa 10 bulan, saya belikan drum kepada Fateh. Fateh suka juga. Fateh akan mengetuk-getuk drum sampai terlompat-lompat. Pada usia ini, bayi sudah boleh memegang dengan kemas.

Seawal 6 bulan, bayi sudah mula tumbuh gigi. Anda boleh berikan mainan yang selamat untuk digigit atau berikan teether kepada bayi untuk melegakan gusi mereka.

Bayi 9-18 bulan

Kebanyakkan bayi sudah mula bertatih semasa usia 9 bulan. Anak saya pada usia 1 tahun masih belum boleh berjalan. Pada usia ini juga, bayi mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Bayi pada peringkat ini boleh diberikan permainan yang bersifat interaktif.

Toy tower adalah antara contoh permainan yang berinteraktif. Membina menara mainan membantu membentuk kordinasi tangan dan mata dan belajar tentang hubungan spatial. Permainan ini membantu anak kita menyusun dengan seimbang iaitu berdasarkan saiz yang berbeza.

 montessori toy

Saya ada belikan toy tower kepada Fateh sejak awal lagi. Setakat ini Fateh lebih suka mencabut gelung berbanding membina tower. Walau diajar banyak kali untuk membina tower nampaknya Fateh masih belum memahami. Fateh lebih suka bermain dengan gelung cincin dengan memegang, mengetuk dan membaling.

Rasanya ini sahaja yang boleh saya kongsikan. Fateh masih 1 tahun. Saya akan update lagi dari masa ke semasa.

Leave a Reply