PCOS

Teks: Nazifa Mazni

Ya. Benar.

Pengidap PCOS boleh hamil.

Ramai beranggapan jika wanita mengalami masalah PCOS, harapan untuk hamil adalah tipis. Anggapan itu tidak benar sama sekali kerana telah ramai wanita yang mengidap PCOS yang berjaya hamil. Namun begitu, bagi pengidap PCOS yang ingin hamil tidaklah semudah dengan wanita normal yang lain. Banyak liku-liku yang perlu diharungi.

Saya telah disahkan PCOS pada tahun 2015 setelah berehat 2 tahun dari rawatan fertiliti di klinik pakar O&G. Saya mula ke Klinik Pakar O&G untuk rawatan fertiliti setelah setahun berkahwin.

Jika anda pasangan yang sudah berkahwin lebih dari setahun tetapi masih belum hamil segeralah berjumpa dengan doktor. Namun jika sebelum berkahwin anda memang tahu yang anda mempunyai masalah dalam tempoh 6 bulan perkahwinan anda sudah boleh bertemu dengan doktor. Jangan takut bertemu doktor.

Sebelum saya berehat 2 tahun, saya telah pun menjalani rawatan IUI sebanyak 2 kali. Namun, tidak berjaya. Seorang pesakit hanya dibenarkan untuk membuat rawatan IUI sebanyak tiga kali di hospital kerajaan. Saya fikir saya tidak mahu membuat rawatan IUI ke tiga lagi kerana saya rasa badan saya tidak bersedia dan rasa kecewa.

Selepas 2 tahun mengumpul kekuatan saya kembali ke Klinik Pakar O&G.

Semasa bertemu kembali doktor buat kali pertama setelah 2 tahun menghilang.

Doktor lelaki Cina itu bertanya,

‘Ke mana kamu menghilang?’

Saya kebingungan.

Doktor lelaki Cina ini yang wajahnya persis Pengarah Filem David Teo marah sambil membebel.

Bebelan doktor itu membuatkan saya faham.

Rupa-rupanya, IUI perlu dilakukan berterusan setelah tidak berjaya kerana rekod darah dan rekod sperma sudah tidak boleh dipakai lagi untuk masa datang. Berapa lama boleh pakai saya tidak pasti.

Doktor menjelaskan saya perlu ulang kembali prosedur awal dulu bermula dengan ujian darah, pembedahan laproskopik dan HSG test. Suami pula perlu kembali membuat ujian ‘sperm motility’.

Saya tertekan. Namun, saya kuatkan diri.

Saya dijadualkan kembali untuk membuat ujian darah untuk cek hormon dan pembedahan laproskopik dan ujian HSG.

Perjalanan PCOS Bermula

Semasa hari pembedahan sebelum saya ditolak ke dewan pembedahan, doktor pakar yang akan membuat pembedahan ke atas saya datang berjumpa saya mempersoalkan kenapa saya perlu dibedah sekali lagi. Dari pertanyaan doktor itu, saya agak saya tiada keperluan untuk membuat pembedahan laproskopik sekali lagi.

Saya kebingungan.

Sebelum ditolak ke bilik pembedahan doktor mahu membuat TVS dulu. Saya kemudiannya dibawa ke sebuah bilik di dalam wad juga. Semasa TVS tersebut baru saya tahu yang saya ada cyst dan saya pengidap PCOS. Sejak bila saya ada PCOS? Saya tidak pasti mungkin dalam tempoh 2 tahun saya tidak bertemu doktor.

Dalam tempoh ulang alik ke hospital selepas pembedahan laproskopik saya bertemu dengan doktor lelaki berbangsa Cina. Pertama kali saya berjumpa doktor yang ambil berat dan memberi nasihat yang sehingga hari ini saya ingat setelah melihat rekod perubatan saya sepanjang berulang-alik di Klinik Pakar O&G selama beberapa tahun ini.

Pada mula doktor suruh menimbang berat badan. Beart badan saya menaik dari pertama kali datang ke hospital. Berat badan adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada ketidaksuburan. Doktor memberitahu bahawa doktor hanya membantu beberapa peratus sahaja, yang selebihnya pesakit perlu usaha sendiri.

Sehingga hari ini saya ingat. Kata-kata doktor itu memberi semangat kepada saya untuk mengharungi keperitan untuk hamil dan menjaga kesihatan. Semangat itulah yang saya bawa sehingga ke hari ini menjalani gaya hidup yang sihat. Kadang-kadang kecundang juga.

Saya tidak sabar untuk menjalani rawatan IUI kali ke-3. Rawatan IUI mempunyai peluang tinggi hamil kembar.

Adakah saya berjaya?

Leave a Reply