Seminggu lalu saya ke Manjung, Perak. Ini adalah kali ke-2 saya datang ke Manjung. Kali pertama datang ke Manjung atas urusan kerja suami saya dan kali ini juga begitu. Sepanjang tiga hari berada di sini, kami bersarapan di hotel sahaja dan hari terakhir di sini saya ingin makan di kedai makan luar. Saya ingin juga merasa masakan orang Manjung, bukan lagi air tangan chef hotel. Lagipun menu sarapan sama sahaja sepanjang kami berada di sini. Kali pertama menginap di sini menu sama sahaja. Paling tak boleh lupa adalah ikan bilis keras. Boleh patah gigi saya.

Suami bercadang bersarapan di kawasan Pusat Perniagaan Manjung Point sahaja kerana sudah tidak sempat untuk mencari-cari kedai makan lagi. Kami berhasrat untuk makan di Restoran Sri Kantan tempat kami makan tengahari semalam. Malangnya, kedai tersebut tidak buka. Kami mencari kedai-kedai di sekitarnya dan nasib baik ada yang buka. Susah juga mencari kedai makan di sekitar sini. Kami jumpa kedai makan ini pun sebab semalam dalam perjalanan untuk ambil suamiku di Pusat Penetasan Udang Galah, Sitiawan, aku dan adikku meronda-ronda dulu kawasan Pusat Perniagaan Manjung Point untuk melihat kedai-kedai yang boleh dihabiskan duit sambil mencari kedai makan yang ada.

Mujurlah ada kedai makan yang buka pagi ini tatkala suami berkejaran masa. Menu sarapan yang ada di kedai ini adalah nasi bungkus berlauk, nasi kerabu, nasi lemak, nasi dagang dan bermacam jenis kuih-muih. Saya rasa tuan kedai ini adalah orang Kelantan.

Sebelum bergerak pulang ke Utara, kami singgah untuk makan di Restoran Sri Kantan tetapi tutup juga. Kami ke restoran di hadapannya. Pekerja di situ ‘kecek Kelate’. Agaknya tuan kedai pun orang Kelantan.

Tak merasa jugalah masakan orang Manjung.

Leave a Reply